Tuesday 28 August 2012

Menanti Cinta Terpelihara : Sukarnya Kerana Keindahannya

"Betapa indah sebuah kesabaran
Tatkala tak kulihat wajahmu yang menawan
Jika suatu hari atau pada saat tertentu
Dunia dijual, betapa tinggi harganya..."
(Syair Arab)
Bersabarlah saat menanti kerana ia sebuah keindahan. Dan masa akan sentiasa berlalu. Bergerak pantas tanpa tuju. Allah yang menggerakkan waktu. Sampai suatu saat itu, segalanya akan berakhir dan pastinya akan berlalu.
Berakhir bererti tamatlah sebuah cerita. Buat mereka yang menjaga jiwa dan anggota, maka beruntunglah. Jua pada sekeping hati yang penuh percaya pada Allah Maha Pencipta, turut sama termasuk di dalam sebuah cerita. Bahawa cinta itu penuh kebaikan dan hasanah. Yang menuntut sepenuh kepercayaan jiwa dan raga.
" Di Tangan Engkaulah segala kebaikan."
(Surah Ali Imran ayat 26)
Dan manusia itu akan sentiasa menanti. Saat yang seharusnya umum setiap manusia bernama hamba menunggu. Bertemu Rabbil Izzati. Bertemu wajah cinta nan suci. Betapa sukar detik-detik sebelumnya. Betapa jatuh dan bangun setiap hamba. Bernafas pada udara yang diciptakan Allah. Sungguh, ia anugerah terindah.
" Dan Dia memberi balasan kepada mereka dengan syurga dan pakaian sutera."
(Surah Al Insaan ayat 12)
Dia kirimkan utusan. Di kiri dan kanan. Saat hamba terpandang suatu cahaya, maka beruntunglah ia. Dan andai sebaliknya, sungguh percayalah. Bahawa ia menuntut waktu yang lama untuk kembali membelek kusam-kusam hati. Dan berbezalah mereka yang menjaga hati demi menanti sebuah cinta yang sejati.
Namun, saat hati sedang menanti. Begitulah lumrah seorang hamba. Ingin dikurniai sebuah cinta. Ia mahu zahirnya halal. Ia mahu batinnya terindah. Titip-titip kesabaran jadi ubat. Kiri dan kanan sentiasa utusan menemani. Namun taqwa dan iman sahaja mampu memegang. Untuk sentiasa masuk ke catatan kanan.
" Mereka katakan, jangan biarkan pandangan mata
Dua mata yang bertatap tentukan berpandangan
Bertukar celak mata adalah hal yang binasa
Jika pandangan itu dengan menjaga perasaan...."
(Syair Manaqib al-Syafi'e)
Hati itu lembut. Hati itu menyerahnya mudah. Hati itu sudah tentu mudah menangis. Ramai hamba menangis. Kerana hatinya menanti sebuah cinta. Kerana kesedaran menanti cinta halal itu terbukti berduri ranjaunya. Kerana Allah jualah yang membolak balikkan hati. Kerana Allah jualah cinta itu berhak untuk menanti. Betapa cinta itu lumrah. Betapa solat itu imarah. Untuk menghilangkan kelaparan.
" Kesukaanku dijadikan di dalam solat dan aku dijadikan meyukai wanita serta wangian. Orang yang lapar kenyang dan orang yang dahaga dapat minum sepuasnya. Sedangkan aku tidak kenyang kerna mencintai solat dan wanita."
(Hadis Riwayat Sahih Muslim)
Menangis sekeping hati. Saat hamba bertemu rasa sebenarnya. Pada titik sebuah cinta. Pengharapan dan keyakinan yang menebal. Bangitkan cahaya yang kusam kan menjadi terang benderang. Lalu berpautlah pada ayat-ayat cinta dari Tuhan Penguasa Cinta. Penuh isi. Penuh hikmah. Cukup benar, demi menanti sebuah cinta.
Demi cinta yang terpelihara, berjuang untuknya tak harus berkurang. Malah bertambahnya ia pada kualiti berbanding kuantiti. Menyesakkan jiwa bisa bangkit sebuah rasa yang takkan termampu dihurai dek kata. Mereka menegur, dia tersenyum. Mereka membantah, dia berhikmah. Mereka berbuat zalim dia kan berdakwah. Membaiki zarah-zarah kecil pada pasak hati. DEMI dan HANYA cinta sejati.
"Seorangpun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka, iaitu (bermacam-macam nikmat) yang menyedapkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang mereka kerjakan."
(Surah As-Sajadah ayat 17)
Ayat-ayat cinta, takkan pernah tertelan dek zaman. Bahawa janji Allah adalah sentiasa pasti. Cinta tidak harus memiliki. Cinta itu harus dibiar seri. Ditambah baja-baja hijrah dan istiqamah. Lalu nawaitu meluruskan iktikad. Dan terus, bertemulah titik cinta sejati. Yang sebelumnya dipenuhi rahsia.
Cinta sejati sentiasa rasa dekat di hati. Kerna istikharah berbisik sepi. Untuk mereka yang sangsi. Telah bertasbih doa, bahawa harusnya Allah kurniakan pengakhiran bahagia. Yang terbaik buat diri. Yang terbaik untuk kini dan selamanya. Itu isi yang terpateri. Pada sebuah janji yang berzikir sambil menanti.
"Apakah Allah menciptakan itu tidak mengetahui (yang kamu zahirkan dan rahsiakan), Dia Maha Halus lagi Maha Mengetahui."
(Surah Al-Mulk ayat 14)
Takkan menghilang rasa di hati. Andai sentiasa hati mahu nama bersemi. Pada sujud sebuah cinta. Pada tetap sebuah usaha. Pada yakin sebuah janji. Dan pada sabar pada goda di sisi. Berjuang hamba memperbaiki diri, bukan untuk si dia yang dinanti. Berjuang hamba pada Ilahi, demi jadi hamba sejati. Betapa indah tiada terperi, sebuah cinta yang menanti.
"Allah berfirman, ' Aku telah menyediakan bagi hamba-hamba-Ku yang salih apa-apa yang belum dilihat mata dan didengar telinga serta tidak terlintas di dalam hati manusia, tidak seperti yang kalian pernah lihat."
(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Tarmidzi)
Sungguh, cinta ini Demi dan Hanya untukNya

Thursday 23 August 2012

Misteri ‘Terowong Jepun’ Di Kunak Sabah Terungkai

Bagi penduduk Sabah, mungkin anda pernah mendengar tentang misteri terowong Jepun di Kunak Sabah. Kunak yang mempunyai kira-kira 62,000 penduduk dan merupakan daerah yang kaya dengan sumber marin seperti udang, ikan, ikan bilis dan ketam sama ada yang bersumber dari laut atau yang diternak dalam sangkar.
Kunak juga adalah antara daerah pengeluar rumpai laut di Sabah dan pengeluar ikan keempat terbesar. Nama Kunak memang agak jarang disebut dan masih ramai orang luar belum mengenali Kunak sebagaimana mereka mengenali Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Sandakan walaupun semua daerah berkenaan berada di Pantai Timur Sabah.
 
Mungkin disebabkan kurangnya promosi dari pihak yang berwajib meskipun di Kunak terdapat banyak lokasi menarik.
Lokasi Menarik Di Kunak, Sabah :
~ Kolam Lumpur (Mud Pool) di Ladang Binuang,
~ Air Terjun Di Hutan Simpan Madai Baturong
~ Gua Madai di Madai
~ Tasik Impian Di Mostyn
~ Kelab Golf di Mostyn
~ Tinggalan Terowong Jepun di Mostyn
~ Kawasan Tanaman Kelapa Sawit yang Tertua di Pulau Borneo (ditanam pada 1957)
~Telaga Tujuh di Pangi
~ Kolam Air Panas / Hot Spring di Sungang
~ Bahan Artifak di Tingkayu
Lokasi terowong ini terletak kira-kira 12 kilometer dari pekan Kunak di mana terowong tanah sepanjang 8 kilometer dengan 4 cabang yang terletak di Ladang Sime Darby dipercayai digunakan oleh tentera Jepun sebagai laluan rahsia untuk mengangkut serta menyimpan peralatan perang.
Kewujudan terowong Jepun ini dikatakan dibina pada zaman Perang Dunia Kedua dan masih terdapat beberapa tinggalan tentera Jepun di dalam terowong tersebut. Beberapa individu cuba memasuki kawasan tersebut dan ada yang mendakwa pernah menemui beberapa barangan peninggalan zaman perang antaranya gelas, sudu, dan ada juga yang mendakwa pernah menemui ”bekas landasan lokomotif” di dalam terowong berkenaan.
Terowong berkenaan dikatakan mampu dilalui oleh lori 10 tayar dan ditemui secara tidak sengaja pada tahun 1970-an oleh kaum Iban yang ditugas membersihkan kawasan hutan berkenaan. Mereka mengesan terowong berkenaan selepas melihat runtuhan sebahagian terowong bawah tanah itu.
Ada pihak yang mengandaikan bahawa terowong ini tembus hingga ke Laut Sulawesi. Namun,setakat ini tiada yang mampu menjelaskan di manakah penghujung terowong ini.Ada juga peneroka yang cuba memasuki terowong ini namun tidak mampu meneruskan perjalanan kerana kekurangan udara dan keadaan yang terlalu gelap