Sunday 8 July 2012

Skim Pinjaman Perumahan oleh Institusi Kewangan Islam

Siapa yang tidak mahu memiliki kediaman sendiri?
Mempunyai kediaman sendiri adalah sesuatu yang diidam-idamkan kan oleh semua. Keputusan untuk membeli rumah adalah sangat signifikan dan merupakan satu langkah besar dalam kehidupan seseorang. Ia bukan hanya memerlukan komitmen kewangan yang tinggi malah membeli rumah adalah satu pelaburan jangka panjang yang besar faedahnya.
Bunyi memang menarik tetapi dalam merancang pembelian rumah banyak elemen yang perlu diambil kira, di antaranya; struktur isi rumah, tarikh pembelian, deposit dan pendahuluan, tempoh pinjaman dan pembayaran balik serta jumlah ansuran bulanan. Pengiraan secara teliti harus dilakukan agar tidak mempengaruhi perancangan perbelanjaan yang lain.
Hari ini membeli rumah melibatkan kos yang besar. Ditambah pula dengan kenaikan harga rumah yang mendadak pada tahun 2011 terutamanya di kawasan bandar, menyumbang kepada orang ramai agar lebih berhati-hati dalam membuat pelaburan jangka masa panjang ini. Dan majoriti pembeli Muslim memilih mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan Islam untuk membiayai pembelian rumah mereka. Ini kerana menerusi institusi kewangan Islam, urus niaga kewangan mereka bebas daripada riba, atau faedah.
Setiap bank juga menawarkan pakej-pakej pinjaman atau pembiayaan yang tertentu bagi memenuhi keperluan setiap pelanggan. Setiap pakej mempunyai perbezaan dari segi kadar asas pinjaman atau ‘based lending rate’ (BLR), tempoh matang, had pinjaman, bayaran pendahuluan dan sebagainya.
Institusi kewangan Islam di negara ini mampu menyediakan kaedah pembiayaan pemilikan rumah yang mematuhi syariah dan kompetitif. Di antara kaedah yang popular ialah Bai Bithaman Ajil (BBA) dan kontrak perkongsian Musyarakah Mutanaqisah (MM).
Kaedah BBA adalah kaedah yang mula-mula digunakan dalam pembiayaan perumahan secara Islamoleh institusi kewangan Islam di Malaysia, pada masa itu Bank Islam Malaysia Berhad. Kaedah ini telah diluluskan oleh Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia. Kaedah ini merujuk kepada jualan barangan di mana penjual membayar kepada pembeli harga jualan secara tangguh berserta dengan suatu margin keuntungan yang dipersetujui, sama ada secara sekali gus atau secara ansuran.
Konsep ini sangat popular di Malaysia dan sehingga Disember 2005, konsep BBA digunakan sebanyak 52.9 peratus dalam penerbitan Bon Islam (Sukuk) berbanding konsep-konsep lain.
Mekanisme operasi BBA ialah pembeli memilih suatu aset yang ingin dibeli, kemudian pembeli mendapatkan pembiayaan BBA daripada bank dan berjanji akan membeli aset tersebut pada harga jualan. Pihak bank akan membeli aset tersebut daripada pemilik secara tunai dan aset tersebut telah menjadi hak milik pihak bank. Selepas itu pihak bank akan menjual aset berkenaan kepada pembeli berdasarkan harga jualan yang telah termasuk keuntungan yang telah dipersetujui. Hak milik aset tersebut berpindah kepada pembeli dan pihak pembeli akan membayar harga jualan kepada bank secara ansuran di dalam tempoh yang telah dipersetujui.
Baiklah, contohnya, pelanggan A ingin membeli rumah berharga RM200,000. Kebiasaannya pelanggan akan membayar 10 peratus iaitu RM20,000 sebagai deposit kepada pemaju. Pelanggan A akan menandatangani perjanjian Sale and Purchase (S&P Agreement) dengan pihak pemaju dan kemudian akan mendapatkan pembiayaan daripada pihak bank. Jika Pelanggan A layak membuat pembiayaan maka pihak bank bersetuju membeli rumah itu daripada pelanggan tadi dengan harga RM180,000 setelah ditolak 10 peratus deposit yang telah dibayar tunai oleh Pelanggan A. Maka rumah tadi telah bertukar hak milik kepada pihak bank setelah semua proses pemilikan ke atas rumah itu telah diselesaikan. Pihak bank akan menjualkan rumah (yang telah dibelinya tadi) itu kepada pelanggan yang sama dengan harga baru disebut sebagai harga jualan iaitu RM350,000 yang boleh dibayar oleh pelanggan secara ansuran bulanan dalam tempoh 20 tahun atau lebih, bergantung kepada persetujuan.
Walaupun begitu, BBA yang diamalkan di Malaysia bercampur dengan unsur lain menyebabkannya dipertikai perbankan Islam di Asia Barat. Antara unsur dimaksudkan ialah unsur bai’ al-’inah dan menjual sesuatu yang belum wujud (bai’ al-ma’dum). Perkara lain yang dipertikaikan ialah konsep BBA dalam pembiayaan perumahan yang sedang dalam pembinaan.
Kebanyakan konsep dilaksanakan ialah pihak bank membeli hak ke atas rumah sedang dibina daripada pihak pemaju. Selepas itu bank menjadikan rumah yang sedang dibina sebagai satu sekuriti yang kemudian diiktiraf sebagai aset terasing bernilai dan kemudian dijual kepada pelanggan dengan harga tangguh (modal + untung) menggunakan konsep BBA tanpa menghiraukan rumah itu terbengkalai atau lambat pembinaannya. Segala risiko pembinaan dipikul sepenuhnya oleh pelanggan.
Konsep ini menimbulkan kontroversi besar di kalangan ulama Islam. Pertama, adakah sekuriti itu haq maliy yang terasing daripada aset sebenar? Haq maliy di dalam Islam sebenarnya terikat secara terus dengan aset yang wujud. Dalam kes di atas, aset sebenarnya belum wujud (masih dalam pembinaan). Atas dasar itu, kebanyakan ulama khususnya di Asia Barat berpegang bahawa haq maliy pada rumah berkenaan berbentuk al-dayn (hutang). Berdiri di atas pandangan boleh menjual dayn mustaqir (hutang yang diyakini boleh bayar), bank tidak boleh menjual hutang dengan harga lebih tinggi atau lebih rendah. Sebarang perubahan pada harga membawa kepada mengambil riba.
Itulah antara permasalahan yang timbul dengan pelaksanaan konsep BBA dalam Perbankan Kewangan Islam yang diamalkan oleh kebanyakan bank tempatan.
Berbanding dengan apa yang ditawarkan oleh institusi perbankan tempatan dalam produk kewangan Islam, institusi bank antarabangsa yang membuka cawangan mereka di Malaysia mampu menawarkan produk kewangan Islam yang lebih baik dan menguntungkan pengguna.
Konsep yang dimaksudkan itu ialah menggunakan akad Musyarakah atau lebih tepat lagi Musyarakah Mutanaqisah (MM) yang merupakan alternatif kepada BBA.
Kaedah ini telah diluluskan oleh Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara pada 6 Februari 2006 sebagai kaedah pembiayaan yang mematuhi Syariah kerana ia adalah satu kontrak yang dibenarkan dalam Muamalat Islam. Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia pada mesyuarat ke 56 pada Februari 2006 telah memutuskan bahawa produk pembiayaan berdasarkan kontrak musyarakah mutanaqisah diharuskan.
MM ini melibatkan dua bahagian kontrak iaitu pelanggan membuat perkongsian (musyarakah) dengan bank di bawah konsep Syirkah al-milk (pemilikan bersama) dan bank memajak sahamnya ke atas pemilikan rumah berkenaan kepada pelanggan di bawah konsep ijarah (pajakan).
Di bawah MM ini pelanggan yang berhajat untuk membeli aset akan menemui pihak bank bagi mendapatkan pembiayaan. Pihak bank dengan pelanggan berkenaan akan menandatangani perjanjian Musyarakah untuk sama-sama membeli aset berdasarkan nisbah saham masing-masing sebagai contoh 90:10. Deposit yang mungkin telah dibayar oleh pelanggan akan dikira sebagai bayaran awal sahamnya. Pelanggan kemudiannya akan menyewa bahagian aset yang dimiliki oleh bank menerusi perjanjian Ijarah.
Setiap pembayaran sewa adalah dikongsi bersama antara pelanggan dengan bank menurut nisbah pemegangan saham masing-masing dan dalam bayaran sewa yang dibayar oleh pelanggan sejumlah tertentu akan digunakan untuk membeli bahagian saham yang dimiliki oleh pihak bank. Justeru, nisbah saham pelanggan akan terus meningkat selepas setiap pembayaran sewa dan nisbah saham pihak bank akan terus berkurangan sehinggalah ia dimiliki sepenuhnya oleh pelanggan.
Musyarakah Mutanaqisah mula dilihat oleh koperasi sebagai mekanisme kontrak yang terbaik bagi membantu anggota koperasi memiliki rumah dengan lebih murah dan lebih singkat berbanding dengan mekanisme kontrak yang lain.
Seseorang pembeli yang bijak akan membuat beberapa perbandingan pakej pinjaman walaupun kebanyakannya mempunyai persamaan tetapi ada juga perbezaan setiap pakej yang ditawarkan. Antara pinjaman bank secara Islam yang menarik sekarang ialah Pembiayaan Perumahan-i oleh Bank Islam. Pakej ini menawarkan bayaran “Rehat” (Holiday Payment) untuk 2 bulan setiap tahun. Ini bermaksud peminjam hanya perlu bayar bulanan pinjaman untuk 10 bulan dan 2 bulan ditangguhkan dahulu. Pembayaran “Rehat” ini adalah untuk bulan November dan Disember bagi setiap tahun maka dengan duit lebihan komitmen untuk bayaran rumah itu bolehlah digunakan untuk perbelanjaan sekolah anak-anak untuk bulan Januari tahun berikutnya.
Menarik bukan?
Selain itu, dalam pembiayaan perumahan, aspek perlindungan takaful adalah antara aspek penting yang perlu diberi perhatian. Perlindungan ini perlu untuk memberi jaminan kewangan sekiranya sesuatu yang tidak diingini terjadi. Secara umumnya, sekurang-kurangnya perlindungan takaful berikut perlu diambil oleh seseorang yang membuat pembiayaan membeli rumah iaitu Pelan Takaful Gadai Janji, Pelan Takaful Empunya Rumah dan Takaful Isi Rumah.
Pelan Takaful Gadai Janji ialah perlindungan takaful yang melindungi pihak pelanggan bank dalam bentuk menyelesaikan baki pembiayaan jika pelanggan berkenaan mengalami kehilangan upaya kekal atau meninggal dunia. Manakala, Pelan Takaful Empunya Rumah ialah satu bentuk pelan perlindungan takaful untuk melindungi rumah kediaman terhadap kerugian atau kerosakan akibat bencana seperti banjir atau gempa bumi.



Takaful Isi Rumah pula memberi perlindungan terhadap kerugian atau kerosakan kandungan rumah kediaman, dan perlindungan kepada pelanggan sebagai peserta jika berlaku kecederaan maut. Pelanggan boleh menyertai Takaful Empunya Rumah atau Takaful Isi Rumah atau kedua-duanya sekali untuk perlindungan yang menyeluruh.
Kemudian, dalam membeli rumah yang masih dalam pembinaan, kaji latar belakang pemaju berkenaan. Hendaklah dipastikan bahawa pemaju:
  • Mempunyai lesen sah yang dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (belum luput)
  • Mempunyai lesen pengiklanan dan permit jualan sah yang dikeluarkan oleh penguat kuasa tempatan
Pembeli berhak untuk merujuk kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mendapatkan maklumat lanjut. Pemaju yang mempunyai rekod yang baik akan mengurangkan risiko projek terbengkalai.
Akhir sekali, pembeli juga dikehendaki menjelaskan kos-kos berkaitan seperti fi perkhidmatan profesional dan caj yang dikenakan oleh pihak Kerajaan menggunakan TABUNGAN SENDIRI. Berikut ialah senarai sebahagian daripada fi dan caj yang mungkin dikenakan:
Jenis
Kadar
Fi guaman profesional
  • Perjanjian jual beli
1.0% ke atas RM 100,000 pertama 0.5% untuk RM 4,900,000 seterusnya
Duit Setem
  • Perjanjian pinjaman
  • Pindah hak milik (untuk rumah sudah siap sahaja)
0.5% daripada jumlah pinjaman atau RM5 bagi setiap RM1,000 1% ke atas RM 100,000 pertama
2% untuk RM400,000 seterusnya
Fi Pengeluaran Pinjaman Termasuk fi untuk pendaftaran cagaran, caj untuk carian tanah dan fi untuk carian kebankrapan Mungkin berbeza bagi negeri, pejabat tanah dan jenis harta yang berlainan. Sebagai contoh, di Selangor dan Wilayah Persekutuan, fi dan caj yang dikenakan berada dalam lingkungan RM300 hingga RM700
Fi Pemprosesan Dikenakan sekali sahaja untuk tujuan memproses permohonan pinjaman anda
Kadar(RM)
50
100
200
Jumlah Pinjaman (RM)
sehingga 30,000
30,001 – 100,000
100,000 ke atas

*Jenis caj dan jumlah caj yang dikenakan akan berubah dari semasa ke semasa.

Selamat membeli rumah dengan berhemah

Saturday 7 July 2012


Teknik Menyimpan Wang


Hampir semua orang bersetuju bahawa mereka perlu menyimpan sebahagian daripada pendapatan mereka. Tetapi ramai yang gagal untuk melakukannya. Mereka fikir bahawa kadar penyaraan hidup adalah terlalu tinggi, banyak bil yang perlu dijelaskan, terlalu banyak barangan yang perlu dibeli. Memang ada kebenarannya. Tetapi pada hakikatnya, walau siapa pun anda atau sebanyak mana sekali pun pendapatan, anda masih boleh menabung. Kemudian barulah anda boleh memutuskan sebanyak mana anda boleh ketepikan daripada pendapatan anda.
Ramai yang mempercayai bahawa sekiranya mereka tidak dapat menyimpan dengan banyak, maka mereka tidak perlu menyimpan. Mereka terlepas pandang fakta bahawa sekecil mana sekalipun jumlah yang disimpan dengan tetap, akan bertambah dalam jangka masa yang panjang. Seandainya anda menyimpan hanya lima peratus daripada pendapatan anda, maka jumlah yang tersimpan adalah sama dengan jumlah gaji penuh setahun dalam masa kurang daripada 20 tahun (malah beberapa tahun lebih kurang jika diambil kira jumlah faedah yang terkumpul dalam akaun simpanan anda). Ia kelihatan seperti suatu masa yang panjang, tetapi harus diingat bahawa kita memperkatakan tentang pendapatan penuh setahun! Oleh itu berapakah pula masa yang dikurangkan sekiranya anda menabung RM1,000 atau RM500?
Sebagai perbandingan, apakah yang anda boleh tunjukkan bagi wang yang anda tidak simpan itu? Cuba renungkan pada beberapa tahun kebelakangan dan tanya diri anda sendiri, apakah kerugian yang anda alami sewaktu menyimpan lima atau sepuluh peratus daripada pendapatan anda itu. Adakah ia terlalu ketara atau adakah ia menguntungkan? Adakah ia mendatangkan kepuasan sepertimana yang anda rasai sewaktu mengetahui jumlah wang yang terkumpul sehingga kini? Sudah tentu tidak.
Untuk menghilangkan tabiat berbelanja boros memerlukan kekuatan diri. Tetapi apabila jumlah simpanan anda bertambah, sedikit demi sedikit, ia akan menjadi lebih mudah. Malah, ia akhirnya menjadi suatu kenikmatan. Dan, sementara jumlah simpanan anda kian bertambah, anda juga akan menerima kadar kaedah yang membantu menambahkan jumlah simpanan anda dengan lebih cepat.
Bukankah benar bahawa segala apa yang anda benar-benar mahukan boleh diperolehi daripada simpanan anda? Luangkan masa seketika dan senaraikan dalam fikiran anda barangan atau perkara-perkara yang bernilai dan sesuai untuk disimpan. Adakah masuk akal sekiranya anda impikan untuk mendapat ganjaran dari mana-mana, atau mewarisi harta, ataupun daripada sumber-sumber kekayaan sekelip mata? Sudah tentu tidak. Anda tahu apa yang anda harus lakukan – mulakan menabung.
FORMULA UNTUK MENYIMPAN WANG
Formulanya adalah daripada lima patah perkataan – “BAYAR DIRI ANDA TERLEBIH DAHULU”. Sebelum anda membayar sewa kepada tuanpunya rumah atau peruncit atau sesiapa sahaja, pastikan anda BAYAR DIRI ANDA TERLEBIH DAHULU.
Teorinya cukup mudah. Jika anda cuba menyimpan daripada baki yang tinggal selepas membayar semua bil dan keperluan lain, anda tidak akan dapat menyimpan untuk diri anda. Jika sebaliknya, anda membayar diri anda terlebih dahulu, anda akan menjadi sedikit kaya setiap bulan, dan anda masih boleh menjelaskan pembayaran bagi segala keperluan yang mustahak daripada baki pendapatan anda (walaupun anda perlu lebih teliti mentadbirkan kewangan anda).
Jika anda tidak percaya ianya boleh dilakukan, pertimbangkanlah perkara berikut. Andaikan bahawa pihak kerajaan menaikkan cukai pendapatan bagi semua orang sehingga sepuluh peratus. Tiada siapa pun menyukainya, tetapi semua orang akan mendapati pendapatan mereka dikurangkan mengikut kadar potongan cukai yang baru itu. Selepas beberapa waktu penyesuaian, anda boleh menyelaraskan perbelanjaan anda mengikut jumlah pendapatan anda yang sedikit berkurangan itu. Anda terpaksa melakukannya kerana kemampuan anda sudah berkurangan.
Begitu juga dengan membayar diri anda terlebih dahulu. Formulanya sama. Jika anda mengetepikan sejumlah wang untuk akaun simpanan sebelum sesen pun dibelanjakan, bermakna anda membuat ‘pemotongan pendapatan’ anda sendiri. Akhirnya anda akan menyesuaikan penyaraan diri anda mengikut jumlah yang boleh dibelanjakan. Cubalah dengan sepuluh peratus daripada pendapatan anda – atau dengan hanya lima peratus. Anda akan terperanjat apabila mengethui bahawa menyimpan wang tidak akan menurunkan taraf hidup anda. Malah secara keseluruhan, ia akan mempertingkatkan kehidupan. Anda tidak akan jatuh miskin dengan menyimpan wang.
CARA-CARA UNTUK MEMULAKAN AKAUN SIMPANAN
Di sini ada beberapa idea yang boleh membantu anda menabung. Cara-cara ini telah berkesan untuk semua orang. Jangan cuba kesemuanya.
1. Daripada pertukaran wang anda seharian, simpanlah syiling-syiling pada kadar tertentu, seperti syiling sepuluh sen, syiling dua puluh sen, atau syiling lima puluh sen. Letakkan syiling-syiling tersebut ke dalam tabung. Anda tidak rasa kehilangannya, malah anda akan terperanjat apabila melihat begitu cepatnya ia bertambah.
2. Daripada hanya menyimpan syiling-syiling mengikut kadar tertentu, lebih baik anda menyimpan semua syiling pertukaran wang anda setiap hari.
3. Selepas anda membayar ansuran terakhir kereta anda ataupun pinjaman-pinjaman yang lain, tambahkan jumlah yang sama ke dalam akaun simpanan anda setiap bulan yang mendatang. Anda sudah pun mempunyai tabiat mengetepikan jumlah tersebut setiap bulan, oleh itu teruskanlah dengan membuat pembayaran pada diri anda sendiri.
4. Jika anda mendapat pulangan cukai pendapatan, masukkanlah ia ke dalam akaun simpanan.
 5. Jika anda menerima bonus, gunakanlah ia untuk membuka akaun simpanan atau untuk membesarkan jumlah akaun yang sedia ada.
6. Simpanlah wang pendapatan kerja lebih masa anda daripada membelanjakannya.
7. Jika anda dinaikkan gaji, simpanlah ia. Sebelum ini pun anda sudah biasa tanpa wang tambahan tersebut.
8. Simpanlah ke dalam akaun simpanan anda segala wang yang diterima sempena hari jadi, sewaktu menyambut hari perayaan atau sambutan-sambutan tertentu.

9. Pastikan wang anda bekerja untuk anda. Carumkanlah wang-wang yang berlebihan secepat mungkin ke akaun simpanan.
10. Amalkan program jangka-pendek ‘hidup sederhana’ dimana ketika itu anda menyimpan sebanyak mungkin. Jangan membeli sekiranya tidak perlu. Elak daripada pergi menonton, makan luar, atau perbelanjaan untuk segala bentuk hiburan.
ANDA TIDAK AKAN RUGI WALAU APA CARA SEKALI PUN
Menabung bukan sahaja membuat anda lebih kaya, malah anda juga akan mendapat ketenangan jiwa kerana kewangan anda kukuh. Anda akan lebih menghormati diri sendiri. Anda akan dapati bahawa corak kehidupan anda akan menjadi lebih teratur. Dan pastinya anda sedang menuju ke arah kejayaan kewangan.

APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN KEJAYAAN KEWANGAN?

Kejayaan kewangan adalah mudah. Ia adalah keupayaan untuk mengumpul wang dan menerima pulangan daripada apa yang anda simpan. Apa yang anda belanjakan atau berapa banyak pendapatan anda bukannya penentu bagi kejayaan kewangan anda. Yang menentukannya ialah berapa banyak anda menyimpan!
BAGAIMANAKAH ANDA MENCAPAI KEJAYAAN KEWANGAN?
Pertamanya, ambillah suatu inventori untuk mengenalpasti kedudukan kewangan anda. Berapakah pendapatan anda? Ke mana perginya wang anda? Berapa banyak hutang anda? Berapa banyak simpanan anda? Dengan cara ini sahaja anda boleh mengenalpasti kedudukan kewangan anda yang sebenar.
Kedua, buat satu matlamat. Tentukan jumlah wang yang anda mahu dan bila anda mahu mencapai matlamat tersebut. Misalnya, katakanlah anda mahu memilik RM5,000 disimpan dalam masa lima tahun. Tulis matlamat anda ini. Kini anda telah mempunyai objektif yang tertentu.
Selepas anda mencipta matlamat itu, gunakan sebarang cara dalam penguasaan anda untuk mencapainya. Sambil anda beusaha ke arah matlamat itu, anda akan menerima perasaan keseronokan dan kepuasan di atas kerja yang anda lakukan. Anda akan mentadbir segala hal ehwal anda sendiri. Anda telah memiliki perasaan kebebasan yang tiada sesiapa pun boleh mengambilnya dari anda.
Kebanyakan orang berkata bahawa mereka mendapati sukar untuk menyimpan wang kerana terlalu banyak tempat di mana mereka terpaksa membelanjakannya. Jika mereka mahu, orang-orang seperti ini juga boleh menyimpan. Apa yang lebih penting ialah keinginan membara untuk beroleh kejayaan dengan kewangan anda. Anda perlu memutuskan untuk menyimpan lebih daripada membelanjakan.
UNTUK MENYIMPAN DENGAN LEBIH BAIK, ANDA JUGA PERLU BERBELANJA DENGAN BAIK
Orang yang telah mempelajari rahsia menabung selalunya juga mempelajari cara berbelanja dengan lebih baik. Mereka berusaha dengan pelan pentadbiran kewangan yang tetap, yang boleh mengawal segala perbelanjaan, yang juga membuat setiap ringgit bermatlamat. Jika idea-idea ini tidak boleh anda turuti – jika, selepas membayar diri anda terlebih dahulu, anda masih mempunyai hutang dan terpaksa pula meminjam sebanyak mana yang anda telah simpan – maka anda harus pergi kepada pelan dasar kewangan. Anda akan dapati bahawa anda mempunyai terlalu banyak pembocoran dalam belanjawan anda yang boleh ditampal supaya anda tidak lagi sekerap mungkin memerlukan wang simpanan anda.
IA BOLEH DILAKUKAN!
Orang lain telah melakukannya. Anda juga boleh berbuat demikian! Jika anda benar-benar berhasrat untuk berjaya dalam menabung, anda akan melakukannya.

Friday 6 July 2012

Pelaburan Emas



Di artikel sebelum ini yang bertajuk Sistem Pajak Gadai Islam (Ar-Rahnu), disebut tentang: “Akhir-akhir ini, dek kerana harga emas dan perak yang melambung tinggi serta kejatuhan wang fiat di sebelah Barat, orang ramai berpusu-pusu menukarkan sebahagian harta mereka ke dalam bentuk emas dan perak kerana kedua logam berharga ini kalis inflasi. Keghairahan fenomena ini turut menyumbang kepada keadaan di mana peti simpanan deposit di bank-bank sekitar Kuala Lumpur dan Selangor penuh!”
Dalam artikel kali ini, segala-galanya tentang emas, logam berharga ciptaan Allah akan dikupas. Baiklah sebelum cara menjana keuntungan dengan emas dibicarakan, keistimewaan melabur dengan emas disenaraikan dan dibincangkan satu persatu.
Pertama, emas mempunyai nilai tinggi di sisi masyarakat kerana warna kuning nya yang cantik dan sifatnya yang lembut dan mudah dibentuk. Selain itu, emas adalah satu-satunya logam yang dianggap kekayaan terulung disebabkan sifatnya yang tidak boleh dibinasakan. Ia tidak boleh dibakar, reput, busuk dan berkarat. Di sinilah emas dikategorikan sebagai penyimpan kekayaan terulung dunia. Sesuatu yang boleh dibinasakan seperti manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan bukanlah penyimpan yang baik. Wang kertas pula boleh dimanipulasikan oleh kerajaan dengan sewenang-wenangnya. Contohnya, Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe yang telah bertindak mencetak wang yang terlalu banyak dan tidak seiring dengan perkembangan di dalam pengeluaran barang-barang dan perkhidmatan, mengakibatkan negara tersebut mengalami hyperinflation. Kadar inflasi di negara malang tersebut menjangkau sehingga 5,000,000,000,000,000,000,000%! Tetapi emas, penyimpannya akan kekal kaya selaman-lamanya.
Kedua, emas mengekalkan kuasa belinya dalam jangka masa yang panjang. Baiklah, sedikit cerita pada zaman Rasulullah SAW. Dilaporkan oleh Ahmad dalam Musnadnya, daripada ‘Urwah yang bermaksud:
(Pada suatu hari) Rasulullah s.a.w menemui sekumpulan binatang ternakan yang hendak dijual. Lalu Rasulullah s.a.w memberi kepada ku satu dinar dan berkata: “Wahai Urwah, pergi kepada lelaki tersebut dan belikan untuk ku seekor kambing.” Aku pun pergi menemui lelaki tersebut dan melakukan tawar menawar sehingga aku dapat membeli dua ekor kambing dengan harga satu dinar. Kemudian aku membawa kedua ekor kambing tersebut. Di perjalanan, seorang lelaki menemui aku dan ingin membeli salah seekor kambing daripada ku. Lalu aku menjualnya dengan harga satu dinar. Kemudian aku berjumpa Rasulullah s.a.w dengan membawa seekor kambing dan satu dinar lalu aku berkata: “Wahai Rasulullah, inilah dinar dan kambing milik mu. ”Rasulullah bertanya: Bagaimana kamu melakukannya? Aku pun menceritakan kepada Baginda apa yang telah aku lakukan lalu Baginda berkata: “Ya Allah, berkatilah perniagaannya.”
Dengan kata lain harga semasa seekor kambing pada zaman Rasulullah ialah 1 dinar. Agak-agaknya berapa harga kambing pada tahun 2012? 1 dinar! Tidak percaya? Baiklah, mengikut harga emas pada masa artikel ini ditulis, harga 1 dinar emas adalah dalam RM719. Bukankah ia adalah harga jualan kambing yang ideal? Sekiranya anda terlebih rajin, kunjungilah pembekal daging kambing di Dengkil, ada beberapa di sana dan anda akan dapati bahawa mereka menggunakan dinar emas sebagai medium jual beli kambing. Itulah kehebatan emas.
Ketiga, Salah satu daripada sebab kenapa anda perlu memiliki emas ialah dengan melihat kepada tren peningkatan harga emas yang semakin menjadi-jadi sejak 10 tahun kebelakangan ini. Berdasarkan graf di bawah; harga emas telah meningkat daripada 271.50 USD/Oz kepada USD1900.30/Oz. Ini merupakan kenaikan 600% (bersamaan purata 60% setahun!). Untuk pengetahuan semua, emas adalah komoditi yang didagangkan di pasaran dunia. Harga semasa dan rekod harga emas yang lepas emas boleh dilihat di www.kitco.com dengan pantas.
Keempat, emas mudah ditukarkan kepada tunai. Dengan kata lain emas merupakan aset yang sangat cair. Dengan memiliki emas, anda boleh menukarkannya kepada tunai di kedai pajak gadai Islam Ar-Rahnu. Institusi Ar-Rahnu boleh memberikan pinjaman antara 65% sehingga 70% daripada nilai emas anda. Nilai pinjaman ini pula dikira berdasarkan kepada harga emas semasa. Untung, bukan?
Tiada cukai dikenakan kecuali zakat emas untuk orang islam, pembelian emas dalam negeri dapat membantu aliran mata wang di dalam negeri sahaja berbanding membeli barangan import seperti Honda, Toyota dan Mercedes, merupakan aset yang boleh diturunkan ke waris tanpa perlu pertukaran dokumen, mahkamah dan campur tangan pihak ketiga serta banyak lagi kehebatan melabur dalam emas. Cukup sampai di situ, kita beralih cara-cara membuat pelaburan emas di Malaysia.
Secara am, terdapat dua cara membuat pelaburan emas di Malaysia iaitu pelaburan secara emas fizikal dan pelaburan emas dengan membuka akaun simpanan emas Pelaburan emas secara fizikal pula dibahagikan kepada tiga iaitu syiling emas, jongkong emas dan barang kemas. Syiling dan jongkong emas adalah pelaburan emas yang baik tetapi bukan barang kemas kerana terdapat kos upah untuk membuat barang kemas tersebut dan apabila ia ingin dijual kembali, ia akan dikenakan susut nilai antara 25% sehingga 40%. Di Malaysia, disenaraikan institusi yang menjual emas fizikal untuk pelaburan antaranya:
  • Maybank: syiling Kijang Emas
  • UOB Bank: syiling emas dan jongkong emas
  • Public Gold Marketing Sdn. Bhd: syiling emas dan jongkong emas
  • Public Dinar: dinar emas
  • Dinar Emas Kelantan: dinar emas Kelantan
  • Kedai emas: Poh Kong, Habib Jewel, Tomei dan banyak lagi.

Bagi pelaburan emas menggunakan buku akaun simpanan emas pula, biasanya ia ditawarkan oleh institusi perbankan. Pelabur akan membeli emas mengikut harga emas semasa dan kuantiti emas yang dibeli akan direkodkan di dalam buku akaun. Ada bank yang menawarkan kemudahan mengeluarkan emas fizikal dan ada juga yang tidak, antaranya ialah:
  • Kuwait Finance House Malaysia Gold Account-i: satu-satunya pelaburan emas yang patuh Syariah, menawarkan emas fizikal kepada pelabur, serta menawarkan pengeluaran emas fizikal dengan serta-merta setelah membuat pembelian ataupun menyimpan emas tersebut ke Kuwait Finance House.
  • Maybank gold Investment Account (GIA): Pelabur tidak mendapat emas fizikal sewaktu membeli emas MGIA sebaliknya jumlah pembelian emas akan dicatatkan dalam buku. Maybank juga tidak menawarkan kemudahan pengeluaran emas fizikal.
  • Akaun Deposit Emas CIMB Bank: Pelabur tidak mendapat emas fizikal sebaliknya nilai emas yang dibeli akan dicatatkan di dalam buku akaun deposit emas anda. Walau bagaimanapun CIMB menawarkan kemudahan mengeluarkan emas fizikal kepada pelabur akaun deposit emas mereka.
  • Akaun Pelaburan Emas UOB Bank. Terdapat 2 jenis akaun pelaburan emas yang ditawarkan iaitu Akaun Simpanan Emas dan Akaun Emas Premier. Akaun Simpanan Emas ini adalah bagi mereka yang ingin membuat pelaburan kecil manakala Akaun Emas Premier dikhususkan kepada mereka yang mempunyai lebih banyak wang.
  • Al Rajhi Bank Gold-i: Emas yang ditawarkan adalah emas PAMP Suisse. Al Rajhi gold-i cuma ditawarkan kepada pelanggan yang banyak duit (mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 di dalam akaun Al Rajhi) sahaja.

Adakah anda sudah yakin untuk melabur dalam emas? Tunggu dulu, ada beberapa perkara yang perlu diketahui apabila berbicara tentang emas. Pertama ialah spread yakni perbezaan antara harga belian dan jualan (dalam %) atau dalam perkataan yang lebih mudah ialah susut nilai emas. Anda akan untung cepat jika membeli emas yang berharga lebih mahal tetapi mempunyai spread yang kecil berbanding daripada membeli emas pada harga yang murah tetapi mempunyai spread yang lebih besar. Kedua ialah ketulenan emas. Kebanyakan emas pelaburan di Malaysia mempunyai ketulenan 999.9. Ini kerana emas 999.9 adalah emas yang tulen mutunya. Bagi barang kemas pula, gred emas yang biasa digunakan ialah emas 916 kerana ia keras dan tahan lasak.
Ketiga ialah kesediaan stok. Selalunya, produk pelaburan emas yang baik berhadapan dengan masalah stok terutamanya apabila masa harga emas jatuh. Contohnya, Kijang Emas 1 Oz dan syiling emas UOB bank 1 Oz. Ini kerana syiling-syiling emas ini digemari berikutan spread nya yang rendah. Seterusnya, ada faktor-faktor lain yang perlu dititikberatkan. Contohnya, ada bank yang tidak membenarkan plastik salut emas dibuka atau emas tidak boleh calar atau sumbing. Ini boleh menimbulkan masalah kepada anda yang berazam untuk menjadi pelabur emas agresif. Bagi pembeli emas keluaran Public Gold, mereka lebih selamat kerana plastik cover jongkong emas tersebut boleh dibuka. Public Gold akan menerima balik emas mereka walau calar, bengkok, resit pembelian hilang atau sijil emas tersebut hilang. Ini kerana Public Gold mempunyai kilang emas sendiri dan mereka boleh melebur dan membuat semula emas tersebut.
Sekarang, anda pasti runsing, yang mana satu kah pelaburan paling baik? Emas fizikal atau akaun simpanan emas? Pakar-pakar emas menyarankan orang ramai supaya membeli emas fizikal kerana pertama, ia boleh digadaikan sekiranya anda memerlukan wang kecemasan. Tetapi jika anda menyimpan di akaun simpanan emas, anda akan mengalami kerugian jika menjual pada harga yang rendah daripada harga belian (terutama apabila anda terdesak untuk mendapatkan tunai untuk tujuan kecemasan). Kedua, emas fizikal boleh dijual pada bila-bila masa sedangkan untuk akaun simpanan emas anda cuma boleh menjualnya di bank ketika waktu perbankan. Ketiga, jika anda ingin menggunakan teknik manipulasi Ar-Rahnu, anda memerlukan emas fizikal.
Walau apa sekalipun, yang paling penting ialah untuk terjebak dalam skim pelaburan emas! Sejak akhir-akhir ini, banyak syarikat yang menawarkan skim pelaburan emas, ada yang menawarkan pulangan setiap bulan sehingga 2% – 3% setiap bulan, harga emas mereka adalah jauh lebih tinggi daripada harga emas semasa dan moto penjualan mereka ialah duduk diam-diam pun boleh dapat duit. Sekiranya anda terjumpa dengan syarikat yang menawarkan pulangan lumayan, minta nombor pendaftaran syarikat tersebut terlebih dahulu. Sekiranya business plan adalah anda perlu cari pelabur lain untuk dapat komisen, itu sudah cukup untuk membuktikan yang ia adalah skim pelaburan emas sampah!
Yang terakhir ialah zakat emas.
Dan mereka yang menyimpan emas dan perak dan tidak membelanjakannya pada jalan Allah (mengeluarkan zakat) maka khabarkanlah kepada mereka dengan azab yang pedih, pada hari emas dan perak dibakar di dalam neraka jahanam lalu diselar dengannya dahi dan rusuk mereka dan belakang mereka seraya dikatakan kepada mereka inilah harta yang kamu simpan selama ini buat diri mu, maka rasailah balasan apa yang kamu simpan dahulu”.
(At- Taubah; ayat 34-35)
Zakat emas dikira dalam dua keadaan iaitu zakat emas yang disimpan dan emas yang dipakai dan zakat emas yang dipakai. Untuk zakat emas yang disimpan, sekiranya emas tersebut menyamai atau melebihi 85 gram dan tidak pernah dipakai walaupun sekali dalam tempoh setahun, maka wajib dikeluarkan zakat sebanyak 2.5%. Untuk zakat emas yang dipakai, ia tidak diwajibkan zakat tetapi jika ia melebihi ‘uruf’ (nilai kebiasaan pemakaian masyarakat setempat), maka ia diwajibkan zakat dengan kadar 2.5% atas lebihan daripada nilai uruf. Nilai yang diambil kira adalah nilai semasa emas sahaja tidak termasuk batu permata.
Selamat melabur emas!

Artikel Berkaitan: